
Umno Kedah berkata ia menyambut baik usaha memperkukuh ukhwah dan mengangkat bangsa Melayu dan agama, namun sebarang bentuk kerjasama politik harus diberi pertimbangan teliti dan objektif berdasarkan pengalaman lalu.
Katanya lagi, kerjasama politik harus diperbaharui dengan “semangat yang segar dan menang-menang”.
“Sekiranya ada pun perbincangan untuk mengembalikan MN ‘baharu’ ianya haruslah bersifat menyeluruh, bertunjangkan perpaduan Melayu tanpa meminggirkan hak-hak kaum yang lain serta membenarkan perbedaan pendapat yang sihat dan konstruktif.
“Umno dan BN harus kekal sebagai sebuah koalisi yang selesa didampingi serta menjadi asas perlindungan terhadap kaum-kaum yang lain sejak sekian lama,” menurut Ketua Penerangan Shaiful Hazizy Zainol Abidin dalam kenyataan.
Perkembangan ini menyusuli laporan yang memetik Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Nor sebagai berkata PAS sentiasa terbuka menerima sokongan ahli Umno yang ingin bersama perjuangan parti itu, di sebalik ajakan beliau supaya memperkukuh ‘perpaduan ummah’.
Shaiful menyifatkan kenyataan Sanusi itu lebih bersifat ingin memancing dan mengambil kesempatan di atas perkembangan politik semasa.
Cakap-cakap tentang MN kembali timbul susulan kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan tampuk kerajaan negeri beralih daripada PAS kepada Bersatu.
Umno dan PAS membentuk MN pada Sept 2019 menyusuli kejayaan Pakatan Harapan pada PRU14. Ia terkubur selepas PAS membentuk Perikatan Nasional bersama Bersatu, dan pada masa yang sama mahu Bersatu diterima dalam MN, tetapi dibantah Umno.
Umno Kedah berpendirian sebarang keputusan politik perlu dinilai secara lebih strategik, tenang dan tidak terburu-buru.
“Sebarang keputusan politik yang berlandaskan emosi akan mengundang kepada kerapuhan dan bersifat sementara,” katanya.