
Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu ke atas Lee Foo Seong, 60.
Lee disabitkan kesalahan menolong dan menguruskan rumah persundalan di sebuah premis di Melaka, 10 malam, pada 5 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 373(1)(a) dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Menurut Harian Metro, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari bermula tarikh sabitan hari ini serta denda RM10,000 atau 12 bulan penjara jika gagal membayar.
Terdahulu, peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh merayu supaya tertuduh dikenakan denda dan penjara paling ringan atas alasan anak guamnya benar-benar insaf dan tidak lagi mengulangi kesalahan selepas ditangkap.
Katanya, tertuduh kini bekerja dalam bidang perkemasan (housekeeping) di hotel milik abangnya dengan pendapatan RM1,500 sebulan serta menanggung isteri dan tiga anak.
“Tertuduh juga menghidap penyakit kulit serius dan bergantung kepada ubat-ubatan selain didiagnos mempunyai ketumbuhan di tulang rusuk dan kini mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Melaka.
“Difahamkan ini kesalahan pertamanya, justeru pembelaan merayu tertuduh diberikan hukuman ringan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dikenakan kepada tertuduh.