
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata siasatan insiden itu masih dijalankan dan buat masa ini ia dilihat sebagai kes kemalangan semata-mata.
“Kami akan menunggu laporan daripada Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) yang dijangka mengambil masa kira-kira sebulan untuk tindakan selanjutnya jika perlu,” katanya pada sidang media bagi hebahan Polis Selangor Merdeka Ride Karnival di IPK Selangor.
Dalam pada itu, Hussein berkata sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut tidak seharusnya ditimbulkan kerana akan mengganggu emosi waris keluargsa mangsa.
“Ada spekulasi berhubung unsur jenayah dan sebagainya, perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana akan menggusarkan keluarga mangsa. Saya nasihatkan kepada awam, ada sebarang maklumat terus salurkan kepada polis untuk siasatan lanjut, itu sebaiknya,” katanya.
Ahad lalu, Hussein mengesahkan tiada lagi mana-mana individu terlibat dan terkorban selain daripada 10 mangsa termasuk Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Johari Harun, 53.
Turut berada dalam pesawat itu ialah juruterbang Shahrul Kamal Roslan, 41, dan pembantu juruterbang Heikal Aras Abdul Azim, 45, serta lima penumpang iaitu Muhammad Taufik Mohd Zaki, 37, Khairil Azwan Jamaludin, 43, Shaharul Amir Omar, 49, Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi, 35, dan Idris Abdul Talib @ Ramali, 41.
Dua lagi adalah orang awam iaitu penunggang p-panggilan Muhammad Hafiz Muhammad Salleh, 32, dan pemandu e-panggilan Sharipudin Shaari, 51, yang melalui kawasan kejadian.