
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata berdasarkan penemuan awal punca wabak itu berkemungkinan bermula dari ibu keluarga itu, namun siasatan lanjut masih berjalan.
“Kita tengah siasat punca daripada keluarga yang mendapat sakit batuk kokol, daripada penemuan awal mungkin ia bermula daripada ibunya tapi itu pun kita kena buat siasatan lanjut.
“Kes yang berlaku di Rompin itu hanya membabitkan tiga kes dan ia dalam kawalan,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani Nota Persefahaman Kerjasama Strategik Perkhidmatan Kesihatan dan Kebombaan di KKM.
Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengesahkan wabak pertussis atau batuk kokol yang berlaku di Rompin adalah terkawal dan tiada kes baharu dikesan ketika ini.
Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus, berkata penularan maklumat di laman sosial berhubung wabak itu disifatkan tidak memberi gambaran tentang situasi sebenar, sebaliknya cuba menakutkan masyarakat dengan maklumat tidak tepat.
Sebelum ini, tular di media sosial mendakwa penyakit tersebut menjadi ancaman yang lebih teruk selepas wabak Covid-19 dan orang ramai dinasihatkan tidak ke Rompin bagi mengelak dijangkiti.
Dakwaan itu susulan satu notis makluman pengisytiharan wabak pertussis dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Rompin, pada 14 Ogos lalu.
Nor Azimi memaklumkan kes pertussis di Rompin berlaku kepada tiga individu dalam satu keluarga di Kampung Bahagia.