
Zaliha memaklumkan pemergian ibunya, Halimah Yaacob, menerusi hantaran ringkas di Facebook sebentar tadi.
“Hari duka buat kami sekeluarga, mak telah pergi buat selama-lamanya pada jam 8.23 malam tadi,” katanya.
“Tiada kata yang mampu menggambarkan rasa kehilangan ini. Saya mohon doa semua agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Mak, mengampunkan segala dosanya, menerima amal kebaikannya dan menempatkan Mak dalam kalangan orang-orang beriman.”
Dalam pada itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mengucapkan takziah buat Zaliha atas pemergian ibunya.
Anwar berkata, beliau dan isterinya, Dr Wan Azizah Ismail, turut memanjatkan doa agar Zaliha sekeluarga dikurniakan ketabahan, kekuatan jiwa serta ketenangan hati dalam menghadapi ujian berat itu.
“Dengan penuh rasa dukacita, saya dan Azizah menerima khabar pemergian Allahyarhamah Halimah Yaacob, bonda kepada Dr Zaliha,” katanya.
“Kami menzahirkan ucapan takziah serta mendoakan roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa, diterima seluruh amal kebajikan dan ditempatkan dalam kalangan para solihin serta orang-orang beriman.”