Bangkai, serpihan pesawat terhempas selesai dibawa keluar

Bangkai, serpihan pesawat terhempas selesai dibawa keluar

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata lokasi nahas akan dikosongkan malam ini dan semua kawalan polis juga dihentikan.

Penyiasat dari Amerika Syarikat dan syarikat pembuat pesawat aircraft berada di lokasi nahas semalam. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Operasi membawa keluar bangkai dan serpihan pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina selesai hari ini.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata lokasi nahas akan dikosongkan malam ini.

Ketika dihubungi Bernama, beliau berkata semua kawalan polis di lokasi nahas juga akan dihentikan.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati lori yang membawa serpihan dan bangkai pesawat berkenaan meninggalkan lokasi nahas pada kira-kira 7 malam.

Keadaan cuaca yang mendung dan kadangkala hujan tidak menghalang proses membawa keluar bangkai pesawat itu.

Selain itu, jalan yang terlibat dengan nahas akan dibersihkan namun laluan masih ditutup dan polis juga telah membuka garisan kuning yang dipasang di lokasi.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan memaklumkan laporan awal siasatan nahas pesawat yang mengorbankan 10 individu itu akan disediakan dalam tempoh 30 hari dari tarikh ia berlaku.

Siasatan teknikal berdasarkan Lampiran 13 – Kemalangan Pesawat dan Siasatan Insiden, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), telahpun dimulakan oleh pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara dari tarikh kejadian itu.

Nahas yang berlaku pada Khamis lepas telah mengorbankan 10 individu termasuk Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Johari Harun.

Mangsa yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu manakala dua lagi merupakan orang awam, masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang melalui kawasan berkenaan ketika kejadian.

Ketika insiden, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat kebenaran untuk mendarat pada 2.48 petang sebelum terhempas dua minit kemudian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.