
Sebaik keranda membawa jenazah Taufiq dibawa masuk ke Masjid Jamek Ar-Rahimiah di sini, tiga daripada empat anak lelakinya itu mengambil tempat bersama jemaah lain untuk menyempurnakan tugasan akhir mereka buat bapa tersayang.
Terdahulu, keluarga menuntut jenazahnya selepas proses pengecaman selesai di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Usai solat jenazah, anak sulung Taufiq yang berusia 10 tahun kelihatan sugul dan duduk menyendiri dengan pandangan kosong melihat jenazah bapanya diiringi untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.
Kanak-kanak yang namanya tidak didedahkan oleh pihak keluarga ketika ditemui berkata dia tahu ayahnya telah pulang ke ke pangkuan Illahi buat selama-lamanya.
“Abang ok, tahu ayah dah tiada,” jawabnya ringkas.
Taufiq meninggalkan empat anak berusia tiga hingga 10 tahun dan isteri Suzana Paiman.
Sementara itu, Suzana, 38, berkata setakat ini dua daripada empat orang anaknya sudah memahami tragedi menimpa bapa mereka.
“Setakat ini dua yang besar mula terima apa yang terjadi, dua yang kecil masih tidak tahu,” kata Suzana.
Khamis lalu, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang membawa enam penumpang dan dua kru terhempas di Lebuhraya Guthrie dekat Elmina, Shah Alam.
Selain Taufiq, mangsa korban lain ialah Exco Pahang merangkap Adun Pelangai Johari Harun, dua juruterbang Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim serta penumpang lain Idris Abdol Talib, Khairil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar dan Mohd Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, serta dua orang awam, iaitu penunggang p-panggilan Muhamad Hafiz Muhamad Saleh dan pemandu e-panggilan Sharipuddin Shaari.