
Dalam penyataan tuntutan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat lalu, plaintif menamakan Jet Valet Sdn Bhd dan syarikat induknya, Koperasi Amanah Pelaburan Bhd, sebagai defendan.
Plaintif terdiri daripada isteri Johari, Maziah Sudin dan Tengku Erina Ungku Abdul Malek serta Nizatul Akmar Nasir yang merupakan isteri kepada dua lagi mangsa iaitu Naim Muaidi dan Khairil Azwan Jamaluddin.
Mereka menuntut ganti rugi khas, am, teruk dan/atau teladan, selain kos berkaitan pengebumian dan kehilangan pasangan.
Pesawat itu yang membawa lapan penumpang terhempas berhampiran Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina pada 17 Ogos 2023, mengorbankan 10 orang termasuk Johari serta dua pengguna jalan raya.
Pesawat jenis Beechcraft Premier 1 itu berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Subang. Ia mendapat kebenaran untuk mendarat pada jam 2.48 petang, namun terhempas dua minit kemudian.
Plaintif mendakwa defendan melanggar tanggungjawab menjaga keselamatan dan kewajipan statutori, termasuk gagal mengambil langkah mencukupi bagi memastikan penumpang selamat tiba di Lapangan Terbang Subang.
Mereka menuntut ganti rugi berkaitan kos pengebumian, termasuk RM5,000 bagi perbelanjaan pengkebumian dan RM30,000 sebagai kos kehilangan pasangan untuk setiap seorang daripada tiga mangsa, selain tuntutan kehilangan pergantungan yang akan ditentukan mahkamah.
Pada Ogos tahun lalu, Biro Siasatan Kemalangan Udara dalam laporan akhir nahas itu mendapati punca utama nahas pesawat itu adalah disebabkan oleh peluasan ‘lift dump spoiler’ secara tidak sengaja semasa pemeriksaan sebelum pendaratan.
Tindakan ini menyebabkan pesawat kehilangan daya angkat dan kawalan, yang membawa kepada kemalangan.
Laporan itu menambah, pihaknya percaya kesilapan itu dilakukan oleh pembantu juruterbang.