Tiada rakyat Malaysia dalam nahas pesawat Korea Selatan

Tiada rakyat Malaysia dalam nahas pesawat Korea Selatan

Kedutaan Besar Malaysia di Seoul sedang memantau rapat insiden tragik yang korbankan nyawa sekurang-kurangnya 120.

Pesawat Jeju Air 7C2216 tergelincir dari landasan lalu melanggar tembok di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Kedutaan Besar di Seoul mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit nahas pesawat Jeju Air terhempas di Korea Selatan yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 120, kata Wisma Putra.

Menurutnya, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Seoul, sedang memantau rapat insiden tragik melibatkan pesawat itu.

“Malaysia menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terjejas akibat daripada insiden ini, termasuk rakyat dan kerajaan Republik Korea.

“Untuk bantuan konsular atau maklumat lanjut, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Seoul di alamat 129, Dokseodang-ro, Hannam-dong, Yongsan-gu, Seoul 04419 atau telefon: +82-2-2077 8600/+82-10-8974-8699 atau e-mel [email protected],” katanya dalam kenyataan.

Pesawat Jeju Air 7C2216 tergelincir dari landasan dan melanggar tembok di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, barat daya negara itu pada 8.03 pagi waktu Malaysia, lapor agensi berita Yonhap.

Yonhap memetik kenyataan pihak berkuasa sebagai berkata, kerosakan pada fungsi gear pendaratan dipercayai punca pesawat membawa 181 penumpang dari Bangkok itu terhempas ketika cuba melakukan pendaratan cemas selepas cubaan pendaratan pertamanya gagal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.