Nahas Elmina: Keluarga bekas Adun terkorban mahu ambil tindakan

Nahas Elmina: Keluarga bekas Adun terkorban mahu ambil tindakan

Pihak keluarga Johari Harun bercadang mengambil tindakan terhadap pengendali syarikat pesawat Beechcraft Premier 1 terbabit, menurut anaknya.

kapal-terbang-terhempas-elmina
Pada 17 Ogos tahun lepas, 10 mangsa terkorban apabila sebuah pesawat Beechcraft Premier 1, yang dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang, terhempas berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Keluarga bekas Adun Pelangai Johari Harun, yang terkorban dalam nahas pesawat berdekatan Bandar Elmina tahun lepas, bercadang mengambil tindakan terhadap pengendali syarikat pesawat tersebut.

Anaknya, Muhammad Shafieq Hafizilman, 30, berkata, tindakan itu akan diambil susulan laporan akhir oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) pada Jumaat lepas yang mengesahkan nahas itu berpunca daripada kehilangan kawalan semasa penerbangan disebabkan masalah protokol yang tidak disengajakan.

“Pihak keluarga mungkin akan ambil tindakan terhadap pengendali syarikat terbabit,” katanya.

“Difahamkan ada waris mangsa yang lain akan buat tindakan sama … cuma menunggu masa.”

Beliau berkata demikian selepas majlis tahlil dan doa selamat di Kampung Sum Sum dekat Janda Baik hari ini, yang turut melibatkan ahli keluarga dan waris mangsa lain.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Pahang Amizar Abu Adam, yang juga Adun Pelangai semasa, mewakili kerajaan negeri, lapor Sinar Harian.

Muhammad Shafieq berkata, walaupun masih terkejut, keluarganya menerima laporan akhir itu dengan hati terbuka dan reda.

“Kami letak 100% kepercayaan khususnya pihak kerajaan untuk menggubal kembali terutama lesen juruterbang dan sebagainya,” katanya.

“Bila lihat hasil laporan penuh yang dikeluarkan, ia berpunca (daripada) prosedur operasi standard (SOP) yang tidak diguna pakai secara elok.”

Pada 17 Ogos tahun lepas, Johari antara 10 mangsa terkorban apabila pesawat persendirian Beechcraft Premier 1, yang dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang, terhempas berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam.

Mangsa lain terkorban terdiri daripada tujuh individu dalam pesawat itu, termasuk dua anak kapal, serta dua penunggang jalan raya yang melalui kawasan itu.

Sementara itu, Amizar menyifatkan punca kejadian itu seperti yang didapati laporan akhir itu boleh mengundang tekanan dan kegusaran kepada rakyat yang ingin mengambil penerbangan udara.

“Ada sedikit kekecewaan berlaku disebabkan (punca) yang dipanggil kelalaian,” katanya.

“Kita mohon pihak berwajib untuk mengenal pasti semula, mengkaji bagaimana peraturan atau bagaimana setiap penerbangan serta juruterbang yang diberikan sijil ini perlulah dinilai sebaik mungkin agar perkara ini tidak berulang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.