
Ketua Polis Klang Selatan, Cha Hoong Fong, berkata waris terakhir tiba dari Sungai Petani, Kedah, kira-kira 5 pagi tadi.
“Semua waris telah diambil sampel DNA mereka bagi mengenal pasti mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat semalam,” katanya kepada Bernama.
Semalam, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan 10 lelaki maut dalam kejadian itu.
Antara nama terdapat dalam senarai penumpang ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Johari Harun.
Lapan daripada yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.
Ketika kejadian pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.48 petang.