
Teh Tze Jin, 45, didakwa menjalankan perlombongan di tanah bersebelahan tapak projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Sungai Baging, tanpa lesen atau pajakan sah pada 4.10 petang 21 Mei lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001 yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Unit Penguatkuasaan Pahang, Muhammad Taqiyuddin Azizan menawarkan jaminan RM50,000 dengan dua penjamin kepada tertuduh.
Peguam Mohd Rusnizam Abdullah yang mewakili Teh merayu jaminan dikurangkan kerana anak guamnya penanggung tunggal keluarga dengan pendapatan RM5,000 sebulan.
“Tertuduh dan isteri mempunyai empat anak berusia dua hingga lapan tahun. Ini kali pertama dia dihadapkan ke mahkamah dan rakan baik tertuduh yang bekerja di syarikat sama sedia menjadi penjamin.”
Hakim Azman Mustapha membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai, selain menetapkan sebutan semula kes 8 Sept ini.