Reezal jamin jadi ‘backbencher’ berkesan kerajaan P Pinang

Reezal jamin jadi ‘backbencher’ berkesan kerajaan P Pinang

Adun Bertam tidak ambil serius spekulasi berkait jawatan TKM I sebaliknya ingin berperanan sebagai penyokong kerajaan.

Adun Bertam Reezal Merican Naina Merican sambut baik pembentukan exco kerajaan negeri yang memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Adun Bertam Reezal Merican Naina Merican memberi jaminan akan memainkan peranan aktif sebagai ahli “backbenchers” (penyokong) kerajaan Pulau Pinang.

Berbekalkan pengalaman sebagai bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan dan Ahli Parlimen Kepala Batas, katanya, beliau akan memainkan peranan beackbenchers tersebut pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sekarang negeri ini memerlukan backbencher yang kuat dan saya akan memainkan peranan itu dalam DUN,” katanya kepada Bernama bagi mengulas pembentukan barisan exco Pulau Pinang.

Reezal, yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi Umno, mengalu-alukan pembentukan barisan exco komposisi campuran muka lama dan baharu yang memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing.

Ditanya mengenai desas-desus pelantikan beliau sebagai timbalan ketua menteri I yang tular di media sosial semalam, Reezal Merican menyifatkan ia sebagai spekulasi.

Katanya, beliau sentiasa akur dan setuju dengan keputusan yang diambil oleh kepimpinan tertinggi kerana kesetiaannya kepada parti.

“Saya anggap spekulasi ini adalah angan-angan oleh netizen kerana saya adalah bekas menteri tapi kita kena faham gelanggang di peringkat negeri ini berbeza dan saya dianggap sama sahaja seperti yang lain.

“Saya tidak mengambil serius spekulasi itu,” katanya.

Reezal Merican menegaskan bahawa keutamaannya dalam PRN kali ini adalah untuk menebus kekalahannya di Kepala Batas pada PRU15.

Pada PRN Pulau Pinang, Sabtu lalu, Reezal menewaskan penyandang Khaliq Mehtab Mohd Ishaq calon dari Perikatan Nasional (PN) di DUN Bertam dengan majoriti 2,321 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.