
Bekas gabenor Bank Negara (BNM) itu berkata kompaun tersebut dikenakan terhadap 1MDB dengan persetujuan Pejabat Peguam Negara, dan ia dibayar penuh oleh syarikat itu pada 25 Mei 2016.
“Mereka (1MDB) memberitahu kami mereka meletakkan wang di luar negara untuk membolehkan syarikat itu membayar hutang.
“Kami (BNM) menerimanya (penjelasan itu) sekiranya mereka boleh memberikan dokumen proses itu. Tetapi mereka tidak dapat mengemukakan (maklumat) di mana wang itu disimpan dan dalam bentuk apa,” kata Zeti.
Zeti berkata, dengan membayar kompaun itu, 1MDB “secara asasnya mengakui” ia tiada pelaburan atau wang di luar negara.
Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa 1MDB pada 2014 memohon kepada BNM kebenaran untuk membuat pinjaman dana kira-kira RM4.9 bilion dari sumber luar pesisir.
“Kami menolak permohonan ini kerana tahap hutang syarikat itu yang tinggi.
“Mereka tidak gembira dan membuat rayuan (melalui proses dalaman),” kata Zeti yang menambah rayuan itu juga ditolak.
Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang lebih RM2.28 bilion, didakwa milik 1MDB, yang dimasukkan ke akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.