
Umno yang mewakili Barisan Nasional (BN) hanya menang di Sungai Air Tawar dan Dusun Tua dan tewas di 10 kerusi ditandinginya. Komponen itu juga hanya mampu mengekalkan satu daripada lima kerusi dimenangi pada PRU14 iaitu di Sungai Air Tawar menerusi Rizam Ismail.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berkata prestasi terburuk Umno di Selangor, tidak mampu menyembunyikan hakikat pedih bahawa BN, khususnya Umno, amat lemah di negeri itu.
“Jika keputusan PRN ini bukan amaran akhir kepada soal ‘survival’ parti Melayu ini, saya tidak tahu apa lagi jenis amaran yang perlu diberi sebelum kita menyedari kita sudah ditolak.
“PRN Selangor menyerlahkan seolah-olah semakin ramai pengundi Melayu di sesebuah kawasan, semakin susah Umno hendak menang,” katanya di Facebook.
Zafrul, yang juga bendahari BN Selangor berkata, hala tuju dan ideologi Umno Selangor perlu jelas dan diterima akar umbi, bukan hanya mengejar tampuk kuasa, namun pada masa sama tidak mampu meyakinkan ahli bawahan dan rakyat.
“Atas dasar itu, saya harap kepimpinan parti perlu bangkit dan memperbetul keadaan parti yang bukan sekadar ingin mengejar kuasa jangka masa pendek, tetapi usaha yang bersungguh untuk kembali diyakini rakyat dan juga akar umbi.
“Ini penting untuk masa hadapan dan ‘survival’ parti terutamanya di Selangor,” katanya.
Jelasnya, Umno Selangor perlu turun padang bagi mengenal pasti segmen yang perlu diberi keutamaan dalam perjuangan Umno.
Senario politik semasa, katanya, menuntut strategi, keterampilan dan daya tarikan parti sebagai penentu kejayaan atau kegagalan.
“Umno bukan milik kelompok mana-mana, atas sebab itu Umno tidak boleh terlalu radikal,” katanya.
“Umno perlu meraikan pandangan dan ia perlu diurus dengan baik agar Umno terus subur menjadi sebuah parti tempat orang Melayu berteduh.”