Ketepatan masa aduan utama pengguna pengangkutan awam, menurut tinjauan

Ketepatan masa aduan utama pengguna pengangkutan awam, menurut tinjauan

Masalah lain termasuk sambungan lemah destinasi terakhir dan tambang mahal.

Hampir 70% daripada 1,029 responden dalam tinjauan berkata mereka kerap menggunakan pengangkutan awam.
PETALING JAYA:
Satu tinjauan baharu mendapati kurang menepati masa merupakan aduan utama pengguna pengangkutan awam.

“Daripada cabaran dihadapi pengguna pengangkutan awam, 54% mengadu kurang menepati masa, 48% sambungan destinasi akhir yang lemah, manakala 47% menganggap tambang terlalu mahal,” menurut tinjauan dijalankan Pusat Penyelidikan Tinjauan Universiti UCSI.

Tinjauan itu dari 10 Julai hingga 4 Ogos ini mengambil kira maklum balas 1,029 responden mengenai persepsi mereka terhadap pengangkutan awam di Malaysia. Sebanyak 67% responden berkata mereka menggunakan pelbagai bentuk pengangkutan awam, termasuk kereta api dan bas.

Menurut tinjauan itu, 21% responden menggunakan pengangkutan awam setiap hari, 22% beberapa kali seminggu dan 24% beberapa kali sebulan. Satu pertiga daripada responden itu tidak menggunakan sebarang bentuk pengangkutan awam.

Bagi alasan menggunakan pengangkutan awam, 39% responden berkata ia disebabkan mereka tiada kenderaan sendiri, 25% akibat kesesakan lalu lintas dan 18% kekurangan kemudahan letak kenderaan dan kos yang ditanggung mereka jika menggunakan kenderaan sendiri.

Antara mereka yang memilih tidak menggunakan pengangkutan awam, sebab utama kerana mereka lebih suka menggunakan kenderaan sendiri (33%) serta demi keselesaan dan keselamatan (19%).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.