Lelaki ditahan, polis rampas dadah RM655,000 di kondo

Lelaki ditahan, polis rampas dadah RM655,000 di kondo

Seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan di kawasan parkir kondominium di Cheras pada 3.15 petang Khamis lalu.

Sepuluh ketulan dadah jenis heroin base seberat 3.8kg dan 10kg syabu dirampas di sebuah kondominium mewah di Cheras. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang lelaki dan merampas dadah bernilai RM655,000 dalam serbuan ke atas dua kondominium mewah di Cheras dan Semenyih yang dijadikan tempat penyimpanan dadah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan di kawasan parkir kondominium di Cheras pada 3.15 petang Khamis lalu.

Katanya, 10 ketulan dadah jenis heroin base seberat 3.8kg dan 10kg syabu yang keseluruhannya bernilai RM655,000 dirampas di kondominium Cheras itu.

“Kita turut merampas wang tunai RM10,200 dalam serbuan di kondominium di Semenyih,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, suspek dikesan bergerak aktif sejak dua bulan lalu, dengan menjadikan kondominium mewah tempat penyimpanan dadah sebelum dijual kepada pembeli.

Katanya, suspek tiada pekerjaan tetap itu, merupakan penjaga stor dan menghantar bekalan dadah kepada pelanggan selepas menerima arahan ketua sindiket.

“Kita masih menjalankan siasatan untuk mengesan dan menangkap lelaki tempatan tersebut (ketua sindiket).”

Beliau berkata, suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah itu direman tujuh hari sehingga 17 Ogos ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.