Chow angkat sumpah KM Pulau Pinang

Chow angkat sumpah KM Pulau Pinang

Chow Kon Yeow mengetuai kerajaan negeri selepas gabungan PH-BN memenangi 29 daripada 40 kerusi pada PRN semalam.

Chow Kon Yeow melafazkan sumpah memegang jawatan ketua menteri Pulau Pinang di hadapan Yang Dipertua Negeri Ahmad Fuzi Abdul Razak di Seri Mutiara. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengangkat sumpah jawatan ketua menteri Pulau Pinang bagi penggal kedua di Seri Mutiara.

Chow, 65, yang juga Adun Padang Kota, melafazkan sumpah memegang jawatan itu di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Ahmad Fuzi Abdul Razak pada 9.35 pagi.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang Mohd Sayuthi Bakar serta barisan pimpinan PH dan Barisan Nasional (BN) negeri.

Chow, yang sebelum ini pernah diumumkan menjadi calon ketua menteri oleh PH jika parti itu memenangi pilihan raya, akan mengetuai kerajaan negeri perpaduan selepas gabungan PH-BN itu memenangi 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada PRN semalam.

Beliau memperoleh 8,261 undi dengan majoriti 7,116 menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) H’ng Khoon Leng yang mendapat 1,145 undi.

Chow, yang juga merupakan Ahli Parlimen Batu Kawan, menyandang kerusi DUN Padang Kota sejak 2008 hingga sekarang.

Dilahirkan di Kuala Lumpur pada 14 Nov 1958, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Jalan Sungai Besi (1), Kuala Lumpur sebelum ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Jalan Cochrane, Kuala Lumpur pada 1971.

Chow menyambung pendidikan tinggi ke Kolej Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 1976 hingga 1977 sebelum menyambung pengajian di Universiti Sains Malaysia untuk ijazah sains sosial pada 1980 hingga 1984.

Pada 1978, Chow pernah bekerja sebagai penggubal undang-undang di firma swasta dan sebagai penolong penyunting, National Echo (Mingguan Sabtu) pada 1985.

Kerjaya politik Chow bermula apabila beliau bertugas sebagai setiausaha politik kepada Lim Kit Siang pada 1986 dan memegang jawatan penolong setiausaha DAP Pulau Pinang pada 1989.

Beliau pertama kali bertanding pada PRU 1990 dan berjaya menewaskan calon BN Dr Loh Hock Hun di DUN Pengkalan Kota dengan majoriti 3,670 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.