2 beranak maut kereta terbabas di Gua Musang

2 beranak maut kereta terbabas di Gua Musang

Mangsa yang juga pemandu kereta itu Normardiah Taha, 45, dan ibunya Fatimah Sa'aid, 67, disahkan maut di tempat kejadian.

Keadaan kereta mangsa yang remuk teruk selepas terbabas di Kilometer (KM) 73 Jalan Gua Musang-Lojing, awal pagi tadi. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Dua beranak maut apabila kenderaan dinaiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 73 Jalan Gua Musang-Lojing, awal pagi tadi.

Mangsa yang juga pemandu kereta itu, Normardiah Taha, 45, dan ibunya Fatimah Sa’aid, 67, disahkan maut di tempat kejadian dalam kejadian kira-kira 12.09 tengah malam itu.

Ketua Polis Gua Musang, Sik Choon Foo, berkata kejadian dipercayai apabila kenderaan mangsa hilang kawalan dan terbabas sehingga menyebabkan kemalangan.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Ipoh, Perak menuju ke Kuala Terengganu.

“Apabila sampai di tempat kejadian kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan ketika mengambil selekoh dan terbabas ke dalam parit sebelah kiri jalan serta melanggar satu tiang elektrik.

“Kenderaan mangsa berpusing beberapa kali dan menyebabkan ibunya tercampak keluar dari kenderaan. Dua beranak itu disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, menurut Berita Harian.

Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh hubungi bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gua Musang di talian 09-9121222 atau Pegawai Penyiasat di talian 019-4742270,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.