
Di Kelantan, pasangan Nur Ain Huda Ibrahim, 25, dan Mohammad Hidayat Yuliza, 25, hadir dengan memakai busana songket biru muda di SK Wakaf Stan, Kubang Kerian pada kira-kira 3.40 petang, sejurus majlis kenduri kahwin mereka di Kampung Wakaf Stan selesai.
Nur Ain Huda berkata, majlis perkahwinannya memang diatur agar selesai lebih awal agar beliau dan suaminya tidak terlepas peluang mengundi bagi DUN Demit.
“Tarikh perkahwinan kami ditetapkan pada Syawal lepas dan tidak sangka ia jatuh pada hari pengundian,” katanya kepada pemberita.
“Disebabkan semua persiapan telah dibuat, kami putuskan untuk meneruskan majlis akad nikah malam tadi dan persandingan hari ini.”
Mohammad Hidayat pula berkata, beliau bertolak ke Kuala Krai petang ini juga untuk melaksanakan tanggungjawab mengundi di SK Kampung Tengah bagi DUN Guchil.
Katanya, peluang mengundi yang hanya tiba lima tahun sekali perlu dimanfaatkan sebaiknya bagi menentukan kepimpinan negeri.
“Sebab itu dalam kesibukan majlis persandingan hari ini, kami tetap cari ruang untuk keluar mengundi,” katanya.
Di Pulau Pinang, walaupun hujan renyai dan majlis persandingan selesai agak lewat, Nur Azmina Azmawi tetap tidak melepaskan peluang untuk mengundi di SK Seri Impian, Kubang Semang.
Beliau hadir di pusat undi berkenaan pada 5.15 petang dengan mengenakan busana pengantin berwarna putih, ditemani suaminya Mohamad Najib Kherudin, 25, berasal dari Pahang, yang tidak terlibat dengan PRN pada hari ini.
“Majlis akad nikah berlangsung 9 pagi tadi, diikuti majlis persandingan pada 12 tengah hari. Agak kelam-kabut sebab sanding sama hari dengan PRN.
“Sekarang baru sempat untuk datang mengundi dan selepas ini boleh buat fotografi di luar,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan.
Nur Azmina berkata, pada awalnya beliau khuatir tidak dapat menunaikan kewajipan itu kerana jarinya berinai, tetapi ternyata ia tidak menjadi masalah.
Penjawat awam berusia 25 tahun itu juga bersyukur kerana dapat menjalankan tanggungjawabnya walaupun sibuk dengan majlis persandingan, jamuan dan sesi bergambar di rumahnya di Taman Guar Perahu.