
Bastian Pius Vendargon berkata, peletakan jawatan hanya perlu dilakukan jika jelas perdana menteri, menteri besar atau ketua menteri telah hilang sokongan majoriti wakil rakyat.
“Kedudukan ketua eksekutif kekal utuh selagi mana beliau mendapat sokongan majoriti wakil rakyat pada masa beliau memohon menghadap Tuanku Sultan untuk membubarkan dewan,” katanya.
Pada 9 April, Menteri Besar Saarani Mohamad, berkata Perak tidak akan menyaksikan pilihan raya mengejut dalam masa terdekat, dan kemungkinan tidak akan memohon menghadap Sultan Nazrin Shah untuk membubarkan DUN.
Bernama melaporkan beliau sebagai berkata, pentadbirannya masih mempunyai baki lebih setahun untuk memenuhi mandat, dan tiada sebarang perbincangan mengenai pembubaran dibuat.
Saarani berkata, beliau memerlukan perkenan sultan untuk membubarkan DUN, dan perlu menyerahkan peletakan jawatannya sebagai menteri besar sekiranya permohonan itu ditolak.
“Jadi, perkara ini tidak mungkin berlaku kerana saya tidak akan menghadap Tuanku untuk tujuan tersebut,” katanya.
Vendargon berkata, kenyataan Saarani mungkin berdasarkan salah faham terhadap kes Nizar Jamaluddin lawan Zambry Abdul Kadir (2010).
Dalam kes tersebut, Almarhum Sultan Azlan Shah memutuskan menteri besar ketika itu, Nizar, tidak lagi mendapat sokongan majoriti dalam DUN Perak dan menitahkan Nizar meletak jawatan, namun beliau enggan.
Mahkamah Persekutuan memutuskan sultan berhak menilai sama ada Nizar masih mendapat sokongan majoriti tanpa memerlukan undian rasmi di DUN.
Dalam keputusan sebulat suara itu, panel lima hakim menyatakan bukti kehilangan kepercayaan boleh diambil daripada sumber luar, asalkan kekurangan sokongan berkenaan dibuktikan secara konklusif.
Dalam kes itu, tiga Adun bertindak berpaling tadah, mengakibatkan kejatuhan kerajaan Perak pimpinan Nizar. Bersandarkan kepada akuan berkanun (SD), sultan berkenaan melantik Zambry sebagai menteri besar baru.
Vendargon berkata, Mahkamah Persekutuan mentafsirkan Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak secara literal, dan memutuskan perkataan ‘hendaklah’ bermaksud Nizar berkewajipan menyerahkan peletakan jawatannya sebagai menteri besar.
Perkara 16(6) menyebut: “Jikalau menteri besar itu terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli dewan negeri itu, kemudian hendaklah dia mempersembahkan letak jawatan Majlis Mesyuarat Negeri itu dikecualikan dengan permohonannya Duli Yang Maha Mulia membubarkan dewan negeri itu.”
Peguam Nurmustanir Nor berkata, kes Nizar merupakan satu-satunya pertikaian sedemikian yang diputuskan Mahkamah Persekutuan, dan ‘sama ada seseorang itu bersetuju atau tidak’, keputusan berkenaan adalah berdasarkan tafsirannya terhadap Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak.
Beliau berkata, adalah lebih baik bagi ketua kerajaan untuk menentukan kedudukan mereka berdasarkan undian di Dewan Rakyat atau DUN.
“Satu-satu undian akan menunjukkan dengan jelas tahap sokongan dinikmati seseorang ketua eksekutif kerajaan dalam bentuk angka,” katanya.