Ahmad Yakob akui masalah kesihatan faktor lepas jawatan MB

Ahmad Yakob akui masalah kesihatan faktor lepas jawatan MB

Pesuruhjaya PAS Kelantan itu berkata beliau sudah dua kali jatuh dan ada 'slip disc' selain ada masalah jantung.

Pesuruhjaya PAS Kelantan itu berkata beliau tidak mahu menjadi menteri besar lagi sebab faktor umur dan kesihatan.
TUMPAT:
Pesuruhjaya PAS Kelantan Ahmad Yakob mengakui masalah kesihatan adalah faktor utama beliau mahu melepaskan jawatan sebagai menteri besar yang telah disandangnya selama dua penggal sejak 6 Mei 2013.

Ahmad yang merupakan penyandang dan calon PAS bagi kerusi DUN Pasir Pekan bermula sejak pilihan raya umum 1995 berkata masalah keuzuran itu juga telah dimaklumkan kepada Presiden Parti Hadi Awang, sebelum ini.

“Saya sudah dua kali jatuh dan ada ‘slip disc’ sikit. Selain itu saya juga ada masalah jantung.

“Jadi kalau boleh saya tidak mahu menjadi menteri besar lagi sebab faktor umur dan kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Laut.

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Hadi yang memaklumkan beliau menolak untuk terus menyandang jawatan sebagai menteri besar Kelantan selepas PRN nanti disebabkan masalah keuzuran dan perlu menjalani rawatan kesihatan.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam kenyataan semalam turut mengumumkan Kelantan yang ditadbir parti itu dijangka akan memiliki gabungan menteri besar dan timbalan menteri besar yang baharu selepas PRN ini.

Dalam pada itu Ahmad mengakui bukan mudah menjadi seorang menteri besar kerana ia merupakan satu tanggungjawab yang berat termasuk perlu tahan diuji.

Ditanya mengenai calon menteri besar yang baharu, Ahmad berkata sebanyak tiga nama akan dikemukakan kepada presiden parti.

“Biasanya kita akan hantar kepada presiden (Hadi) dan beliau akan membuat pengkhususan.

Kemudian nama-nama ini akan dipersembahkan kepada Sultan Kelantan untuk mendapat perkenan,” katanya.

Pada PRN kali ini, Ahmad akan ditentang calon Pakatan Harapan Mohamad Zamakh Sari Ibrahim dalam pertembungan satu lawan satu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.