Selesai masalah, bukan janji manis, bakal Adun Lembah Jaya diberitahu

Selesai masalah, bukan janji manis, bakal Adun Lembah Jaya diberitahu

Penduduk berkata tiga masalah utama perlu diberi perhatian bakal wakil rakyat adalah banjir, tempat letak kereta dan kesesakan.

DUN Lembah Jaya menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon PH, Altimet atau nama sebenar Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad dan Sharifah Haslizah Syed Ariffin daripada PN.
AMPANG:
Pengundi Lembah Jaya berharap wakil rakyat bakal dipilih tidak sekadar “berjanji manis” sebaliknya serius menyelesaikan masalah membelenggu mereka.

Pemilik restoran, Muhammad Yunos Khan, 56, berkata tiga masalah utama perlu diberi perhatian adalah banjir, tempat letak kereta dan kesesakan jalan.

“Banjir sesetengah kawasan perlu diperbaiki. Kita nak mereka tengok juga sistem perparitan. Kedua tentang parkir kereta. Ini satu masalah dengan jalan kecil memang susah, tiada satu tempat parkir yang teratur.

Muhammad Yunos Khan.

“Kadang-kadang kalau ada kecemasan kita susah sebab ramai orang parkir bertindih,” katanya ketika ditemui FMT.

Selain tiga masalah itu, seorang lagi penduduk Mohamad Yunus, berkata lambakan warga asing yang tidak mempunyai rekod perjalanan sah perlu segera diambil tindakan.

Justeru, peniaga berusia 65 tahun itu meminta bakal wakil rakyat memandang isu berkenaan lebih serius kerana apa yang dilihat, penduduk tempatan hampir “ditenggelami” dengan pertambahan warga asing.

Mohamad Yunus.

“Orang Malaysia dah boleh kira berapa, makin berkurang….makin ramai orang luar (warga asing),” dakwanya.

Kerusi DUN Lembah Jaya menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad
dan Sharifah Haslizah Syed Ariffin daripada Perikatan Nasional (PN).

Pada PRU14 kerusi itu disandang Haniza Mohamed Talha yang menang atas tiket PKR dengan majoriti 14,790 undi sebelum keahliannya dilucut parti pada 6 April 2020.

Sementara itu, ditanya mengenai calon bertanding di DUN tersebut, penduduk berkata Altimet hanya sinonim dilihat sebagai penyanyi.

Kamaruddin Mohd Yusof.

Pesara Kamaruddin Mohd Yusof, 65, berkata berdasarkan kriteria Sharifah Haslizah yang juga ketua penerangan PAS Ampang mempunyai latar belakang lebih memberangsangkan.

“Saya tidak tengok parti, kita tengok pada calon…calon yang akan mentadbir rakyat. Calon sini saya tengok cikgu Sharifah sebab latar belakangnya bagus dan dia dulu ahli Majlis Perbandaran Ampang. Altimet ini penyanyi ada ke ketokohan nak memerintah?

“Kita tidak mahu jadi macam Adun sebelumnya, menang tak datang dah…sebelum menang nampak muka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.