Mengaku salah cuba bunuh 2 anak saudara, lelaki diarah jalani pemeriksaan mental

Mengaku salah cuba bunuh 2 anak saudara, lelaki diarah jalani pemeriksaan mental

Tertuduh kelihatan keliru dan mengulangi pengakuan bersalah beberapa kali, selain turut mohon dibicarakan.

Hakim memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk menjalani pemeriksaan kesihatan mental dan tidak dibenarkan diikat jamin. (Gambar Pexels)
PETALING JAYA:
Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown atas dua pertuduhan cubaan membunuh anak saudaranya.

Mohammad Azmin Hamanullah, 28, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa secara berasingan di depan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Bagi pertuduhan pertama, bekas pemandu lori itu mengaku bersalah cuba membunuh seorang bayi perempuan berusia 44 hari sehingga menyebabkan kecederaan di Flat Nusantara, Jalan Makloom kira-kira 3 petang 2 Ogos lalu.

Untuk pertuduhan kedua, dia sekali lagi mengaku bersalah cuba membunuh seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun sehingga menyebabkan kecederaan pada mangsa di lokasi sama kira-kira 3.30 petang.

Azmin didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda, dan jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada seseorang, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun.

Tertuduh yang berpakaian hospital dengan tangan kirinya berbalut, kelihatan keliru serta mengulangi pengakuan bersalah beberapa kali yang pada masa sama turut memohon dibicarakan.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di Perak untuk pemeriksaan kesihatan mental dan jaminan tidak dibenarkan.

Mahkamah menetapkan 11 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Pada 3 Ogos lalu, media melaporkan seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan kerana dikatakan melempar anak saudaranya berusia tiga tahun dari tingkat satu pangsapuri mereka dan menghempas bayi perempuan berusia 44 hari yang juga anak kepada kakaknya ke lantai, sebelum mengelar pergelangan tangan kiri sendiri.

Bayi itu bengkak di kedua-dua mata, manakala kakaknya mengalami keretakan tulang paha di kaki kiri serta cedera di bibir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.