MB Selangor tuntut Sanusi minta maaf, bayar ganti rugi RM10 juta

MB Selangor tuntut Sanusi minta maaf, bayar ganti rugi RM10 juta

Amirudin Shari menuntut perkara itu susulan kenyataan fitnah berkait pemberian tanah percuma kepada syarikat swasta.

Amirudin Shari menuntut Sanusi Nor menarik balik, memohon maaf serta membayar ganti rugi RM10 juta atas kenyataan fitnah berkait pemberian tanah percuma.
PETALING JAYA:
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menuntut Sanusi Nor menarik balik dan meminta maaf serta membayar ganti rugi RM10 juta susulan kenyataan fitnah berkait pemberian tanah percuma kepada syarikat swasta.

Amirudin dalam kenyataan berkata, menteri besar Kedah itu diberi tempoh 48 jam untuk berbuat demikian.

“Namun begitu, jika YAB Dato Seri Sanusi gagal berbuat demikian, saya terpaksa meneruskan dengan tindakan undang-undang menerusi proses mahkamah,” katanya dalam kenyataan.

Rabu lalu, Sanusi dalam Jelajah Mega PN Best “Sayangi Kedah Sejahtera” di Dataran Darul Aman, Jitra, mendakwa wujud skandal antara Amirudin dengan Pengasas Kumpulan Berjaya Vincent Tan yang kononnya mahu melaksanakan projek RM10 bilion di Sungai Klang.

Sebagai timbal balas, taikun itu akan mendapat tanah 600 ekar di Selangor yang dijangka merugikan kerajaan sekitar RM180 juta.

“Macam mana 600 ekar ni akan diberi percuma kepada tauke ni? Macam mana tauke ni ambil alih anak syarikat MBI 55%. Ha… ni tengah duk hangat ni, tunggu meletup,” Sanusi dipetik berkata oleh lidah rasmi PAS, Harakahdaily.

Pada 7 Ogos, Vincent menuntut Sanusi membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kenyataan berunsur “fitnah” mengenai projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Vincent dan syarikatnya Berjaya Land Berhad turut menuntut pampasan sebanyak RM200 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.