2 calon bebas ikrar sokong Chow jadi KM

2 calon bebas ikrar sokong Chow jadi KM

M Satees (Bagan Dalam) dan David Marshel (Perai) tidak akan berpaling tadah menyokong PN walaupun tidak lagi bersama DAP.

M Satees (kanan) dan David Marshel menunjukkan surat akaun berkanun menyokong Chow Kon Yeow sebagai ketua menteri. (Gambar Utusan)
PETALING JAYA:
Dua calon bebas di Bagan Dalam dan Perai yang juga bekas ahli DAP menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong Chow Kon Yeow sebagai ketua menteri jika menang kerusi ditandingi.

M Satees bertanding di Bagan Dalam, berkata beliau dan David Marshel (Perai) tidak akan “berpaling tadah” menyokong Perikatan Nasional (PN) walaupun tidak lagi bersama DAP.

Dalam sidang bersama, mereka menyatakan komitmen menyokong Chow sebagai ketua menteri untuk tempoh sepenggal jika gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional membentuk kerajaan.

“Untuk itu juga, kami telah membuat SD secara berkanun dan berharap langkah kami ini diikuti oleh calon-calon DAP lain di negeri ini termasuk ’emperor’ (maharaja).

“Ini kerana, sehingga ke hari ini, dia (maharaja) belum menyatakan pendiriannya terhadap sokongan ahli parti yang lain (DAP) untuk mengekalkan Kon Yeow sebagai ketua menteri Pulau Pinang jika menang PRN nanti,” katanya menurut Utusan Malaysia

Mengulas mengenai perjalanan kempen sebagai calon bebas, kata Marshel, mereka menerima maklum balas yang baik daripada pengundi di kedua-dua DUN.

Sementara itu, Satees turut sependapat dengan Marshel dan menyifatkan peluang untuk mereka menang tetap ada, walaupun mungkin tipis.

“Apapun, kami akan kekal berprinsip dengan terus menyokong Kon Yeow dan kerajaan perpaduan pada PRN ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.