Pemimpin Bersatu Faiz keluar parti

Pemimpin Bersatu Faiz keluar parti

Faiz Na’aman berkata, Bersatu terpesong daripada objektifnya untuk memberi lebih banyak ruang kepada orang muda mempunyai latar belakang bersih, kelayakan akademik dan setia kepada parti.

Faiz Na’aman mempersoalkan keputusan Bersatu memilih calon kalah dalam PRU15 bertanding pada PRN Selangor. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Faiz Na’aman meletak jawatan sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan keluar parti, kurang seminggu selepas mengkritik pemilihan calon untuk PRN Selangor.

“Adalah dengan berat hati keputusan besar tersebut terpaksa dibuat memandangkan saya antara 100 ahli dan orang muda terawal yang menyertai Bersatu ketika penubuhannya pada 2016,” katanya dalam kenyataan sambil menambah keputusan itu dibuat secara sukarela tanpa dipengaruhi pihak lain.

Beliau berkata, Bersatu terpesong daripada objektifnya untuk memberi lebih banyak ruang kepada orang muda mempunyai latar belakang bersih, kelayakan akademik dan setia kepada parti.

Katanya, beliau tetap beristiqamah dan wala kepada kepimpinan parti selama tujuh tahun, walaupun jarang diberikan peluang sebagai pemimpin pelapis, bahkan ketika Bersatu menjadi kerajaan persekutuan dari 2018 hingga 2021.

“Keputusan kepimpinan parti yang seringkali mengabaikan suara akar umbi, para pengasas awal dan teguran jentera bawahan menyebabkan Bersatu mengalami kekalahan dalam PRN Melaka dan Johor sebelum ini.

“Sejarah itu juga dilihat bakal berulang dalam PRN enam negeri, terutama untuk kerusi Bersatu dalam PRN Selangor sekarang.”

Sebelum ini, Faiz mempersoalkan keputusan Bersatu memilih calon kalah dalam PRU15 bertanding pada PRN Selangor.

Hari ini, beliau sekali lagi membidas pemilihan calon Bersatu yang disifatkannya berat sebelah kepada “kartel” tertentu dan calon bidan terjun menyebabkan pemberontakan di sembilan bahagian Bersatu Selangor.

“Terdapat insiden membakar bendera Perikatan Nasional (PN) secara terbuka sebagai tanda protes akar umbi.”

Beliau mendakwa Lembaga Disiplin lambat mengambil tindakan terhadap ahli mengkhianati parti pada PRU15, dengan ada pengkhianat didakwa itu dipilih sebagai calon PRN.

Faiz juga kecewa Bersatu didakwa kurang menekankan roh asas ideologi perjuangannya dengan ada “ahli baharu” cuba membawa mentaliti serta budaya lama yang menimbulkan kekeliruan mengenai DNA dan aspirasi sebenar parti.

Katanya, Bersatu juga semakin tidak dihormati sebagai “parti komponen terkuat dalam PN”, dengan ada permintaan dan keputusan rundingan kerusi tidak diendahkan sekutunya.

Daripada 245 kerusi DUN dipertandingkan dalam PRN enam negeri Sabtu ini, PAS bertanding 126 kerusi, Bersatu (83) dan Gerakan (36).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.