Apa justifikasi Sanusi keluar surat izin kepada syarikat dikompaun curi REE

Apa justifikasi Sanusi keluar surat izin kepada syarikat dikompaun curi REE

Syarikat itu didakwa dapat surat izin atas alasan 'pembangunan ladang hutan' pada 15 Mei selepas dikompaun curi REE pada Januari.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, berkata syarikat telah dikompaun kerana mencuri nadir bumi (REE) menerima surat izin atas alasan ‘pembangunan ladang hutan’. (Gambar Utusan)
PETALING JAYA:
Sanusi Nor perlu membuat penjelasan berkait surat izin dikeluarkan pada 15 Mei lalu kepada sebuah syarikat telah dikompaun akibat kesalahan mencuri unsur nadir bumi (REE), pada Januari lalu.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mendakwa surat izin itu dikeluarkan atas alasan “pembangunan ladang hutan”.

Katanya, pengeluaran surat itu dibuat melalui Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK).

Beliau berkata, kawasan seluas 500 hektar yang dibenarkan kepada syarikat terbabit bagi tujuan pembangunan ladang hutan juga adalah sama dengan lokasi berlaku kecurian mineral di Kompartmen 12, Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik.

“Soalan saya apa justifikasi Sanusi untuk (surat bertarikh) 15 Mei, kerajaan negeri keluarkan lagi surat melalui JPNK kepada Mahir Binari (Sdn Bhd) yang merupakan syarikat yang terlibat dalam insiden kecurian (REE) dan telah diambil tindakan.

“Mahir Binari milik Ho Chung Meng yang telah ditangkap pada Januari lalu. Jadi persoalannya setelah dia ditangkap dan bayar kompaun RM130,000 dan dia juga menurut Sanusi telah bayar kompaun bagi pihak Perbadanan Menteri Besar (MBI) berjumlah RM500,000 itu kenapa bagi lagi surat pada 15 Mei atas alasan pembangunan ladang hutan,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Padang Terap.

Saifuddin ketika mengulas lanjut, berkata beliau akan menanti apa pula maklum balas menteri besar Kedah itu.

“Kedah ini seolah-olah menteri besar dia boleh bagi jalan seluas-luasnya, buat lah apa saja. Saya nak tunggu apa maklum balas Sanusi dalam hal ini dan selepas itu saya akan bagi satu lagi pendedahan dalam sidang akhbar seterusnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.