Wanita dibakar suami kini kritikal

Wanita dibakar suami kini kritikal

Mangsa berusia 35 tahun masih dirawat di ICU Hospital Pulau Pinang dan berada bawah pemantauan doktor pakar.

Dalam kejadian kelmarin, wanita itu melecur tahap tiga akibat dibakar suaminya menggunakan petrol. (Gambar PDRM)
KEPALA BATAS:
Wanita yang melecur sehingga 27% pada anggota badan akibat dibakar suaminya menggunakan petrol dalam kejadian di rumah mereka di kawasan perumahan ladang kelapa sawit di Tasek Gelugor, kelmarin, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Ketua Polis Seberang Perai Utara (SPU), Mohd Asri Shafie, berkata mangsa berusia 35 tahun itu masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) dan berada bawah pemantauan doktor pakar.

“Berdasarkan maklumat doktor yang merawat mangsa, wanita itu berada dalam keadaan kritikal dan pasukan perubatan sedang membuat pemantauan rapi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, operasi mengesan suspek, yang juga suami mangsa itu, giat dijalankan namun polis percaya pekerja ladang berusia 36 tahun itu masih berada di sekitar Pulau Pinang atau bersembunyi di negeri jiran sahaja.

“Dalam operasi bagi mengesan suspek yang dijalankan oleh polis semalam, kami mendapat maklumat daripada saksi yang memaklumkan ternampak lelaki itu telah keluar dari kawasan ladang sawit tersebut dengan menumpang sebuah van kilang.

“Polis akan mengesan van kilang itu bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung pergerakan suspek bagi mengesannya untuk membantu siasatan kes tersebut,” katanya.

Asri berkata, pihaknya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat suspek agar menyalurkan kepada polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, wanita tersebut melecur tahap tiga selepas dibakar suaminya menggunakan petrol akibat perselisihan faham keluarga di rumah mereka.

Polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 10.45 malam daripada jiran mangsa, sebelum sepasukan anggota terus ke lokasi, namun mangsa sudah dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB).

Siasatan awal mendapati pasangan suami isteri yang bekerja di ladang kelapa sawit itu, mempunyai empat anak berusia 10 hingga 13 tahun dan semasa kejadian, anak mereka berada di rumah disediakan majikan di ladang tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.