Sarjan disyaki pecah masuk stor eksibit untuk ambil dadah

Sarjan disyaki pecah masuk stor eksibit untuk ambil dadah

Anggota itu dipercayai memecah masuk stor eksibit ketika digantung kerja kerana positif dadah methamphetamine.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata pihaknya berjaya menemui semula 276 daripada 404 sampul berisi dadah yang hilang.
PETALING JAYA:
Sarjan yang sedang ditahan kerja dipercayai memecah masuk stor eksibit IPD Sepang untuk mencari sumber kewangan dan mahu menggunakan dadah dicuri.

Anggota bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Sepang itu didakwa melakukan tindakan berkenaan selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine, dalam ujian rambang 14 Julai lalu.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata anggota berusia 44 tahun itu dalam proses tahan kerja.

“Sebelum ini dia pernah ditahan kerana masalah disiplin sebelum didapati positif dadah dan melakukan jenayah pecah masuk itu ketika dalam proses tahan kerja.

“Dia dalam keadaan terdesak untuk mencari sumber kewangan dan saya percaya dia juga ingin menggunakan dadah yang dicuri untuk kegunaan sendiri. Bagaimanapun, kita masih siasat jika dia ada menjual dadah berkenaan,” katanya menurut Berita Harian pada sidang media di IPK Selangor.

Beliau berkata, sebanyak 404 sampul berisi dadah hilang dalam kejadian itu dan setakat ini polis berjaya mendapatkan semula sejumlah 276 sampul disembunyikan suspek dalam semak di Kompleks Perumahan berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, secara keseluruhan sebanyak 724g dadah terisi dalam sampul berkenaan dan ia adalah barang kes dari 2014 hingga 2020 yang mana sudah selesai perbicaraan di mahkamah serta menunggu untuk dilupuskan.

“Polis mengesahkan semua barang kes yang hilang itu tidak akan mengganggu atau merencatkan mana-mana kes yang disiasat atau dalam perbicaraan.

“Suspek tidak berjaya masuk ke stor sebenar yang menyimpan barang kes yang masih dalam perbicaraan di mahkamah,” katanya.

Hussein berkata, pihaknya juga masih menyiasat jika suspek terbabit kes lain dan menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak mahupun anggota melakukan kesalahan jenayah atau salah laku.

Beliau berkata, suspek kini direman tujuh hari hingga 7 Ogos dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sebelum ini, tular satu laporan polis yang mendakwa stor eksibit tersebut mempunyai kesan geledah selain kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi didapati dirosakkan dan tidak berfungsi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.