Pecah stor eksibit IPD Sepang, sarjan polis ditahan

Pecah stor eksibit IPD Sepang, sarjan polis ditahan

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata suspek bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Sepang ditahan semalam.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata permohonan reman terhadap anggota polis berusia 40-an itu akan dibuat hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang anggota polis berpangkat sarjan ditahan bagi membantu siasatan kes pecah masuk dan curi di stor eksibit IPD Sepang pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata, anggota polis berusia 40-an itu ditahan semalam dan permohonan reman akan dibuat hari ini.

“Suspek yang ditahan bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Sepang.

“Hasil siasatan mendapati barangan yang dicuri itu adalah barang kes yang sudah selesai siasatan dan menunggu proses pelupusan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis Perbarisan Ulang Tahun Polis Bantuan ke-7 Sime Darby Property Berhad di Padang Kawad Universiti Putra Malaysia.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk bagi mengenal pasti motif kejadian terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Pada Ahad lalu, tular laporan stor eksibit IPD Sepang dipecah masuk sehingga mengakibatkan beberapa barang kes dilarikan penjenayah.

Laporan itu turut mendakwa hasil pemeriksaan mendapati suspek memecah masuk dengan memotong dawai atas pagar bahagian stor dan memasuki melalui lubang kaunter tingkap stor.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain kemudiannya mengesahkan kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.