
Sayuti Omar berkata bintang anak bekas menteri besar Kelantan Nik Aziz Nik Mat itu dilihat semakin pudar dalam PAS apabila tidak bertanding pada PRU15 dan terbaru PRN Kelantan, walaupun beliau dikatakan telah menolak kerusi tertentu ditawarkan kepadanya.
“Jika Nik Abduh tidak berbuat sesuatu dia akan terus terpinggir dari orbit politik, jawatan atau kedudukan sebagai wakil rakyat penting kepada orang politik…tanpanya sukar untuk Nik Abduh meneruskan legasi ayahnya (Nik Aziz) kerana beliau adalah pemain utama dari keluarganya.
“Jika Nik Abduh mahu naik dalam politik beliau perlu ubah platform dengan tinggalkan PAS bergabung dengan PKR atau Umno,” katanya kepada FMT.
“Tetapi dia kena kerja keras dan yakinkan seluruh keluarganya dengan tindakan itu.”
Bagaimanapun, Sayuti berkata jika Nik Abduh memilih jalan berkenaan, laluan berliku sudah pasti menanti.
Sayuti mengulas langkah perlu diambil Nik Abduh selepas namanya sekali lagi tidak tersenarai dalam barisan calon PAS di Kelantan, kali ini membabitkan PRN yang ditetapkan pada 12 Ogos depan.
Kelmarin, Nik Din iaitu adik kepada Nik Aziz mendakwa nama Nik Abduh digugurkan daripada senarai calon PAS PRN Kelantan selepas ditolak oleh Naib Presidennya Mohd Amar Nik Abdullah yang bagaimanapun menafikan berbuat demikian.
Amar menegaskan nama bekas Ahli Parlimen Bachok dan Pasir Mas itu tidak tersenarai sejak awal lagi. Bagaimanapun, pada 11 Jul lalu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata pimpinan PAS Kelantan mencadangkan nama Nik Abduh untuk bertanding PRN.
Nik Abduh dilaporkan berkata beliau berlapang dada dan menerima keputusan PAS yang tidak mencalonkannya pada PRN.
Sementara itu, Felo Majlis Profesor Jeniri Amir berkata masa depan politik Nik Abduh mungkin terjejas jika beliau keluar PAS yang menjadi platform terbaik buatnya memandangkan tapak politiknya berada di Kelantan.
“Kelantan tempat terbaik untuk beliau mempertaruhkan nasib politiknya, kalau bertanding juga atas platform Umno contohnya…tak mungkin beliau dapat menang,” katanya.