
Pengerusinya berkata sebagai agensi kerajaan diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan projek pembangunan tanah, aktiviti pertanian dan perindustrian, Felda komited melaksanakan amanah itu, namun ia sukar jika tidak mendapat kerjasama kerajaan negeri.
“Contohnya, terdapat beberapa projek perumahan untuk generasi peneroka Felda di negeri ini seperti projek perumahan Felda di Kerteh 5 terbengkalai selepas kekalahan BN dalam PRU14 lepas, apabila kerajaan negeri tidak memberikan kerjasama.

“Selepas BN tidak lagi menjadi kerajaan, projek berkenaan tidak dapat diteruskan kerana tiada siapa mahu menanggung kos dari segi pembinaan infrastruktur dan sebagainya,” katanya kepada Bernama.
Hal itu, katanya menimbulkan keresahan dalam kalangan generasi baharu Felda yang amat memerlukan kemudahan berkenaan.
Menurutnya, Felda pernah melaksanakan projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) sejak 2013 dan menjualnya dengan harga lebih rendah berbanding harga pasaran, namun ia tidak dapat diteruskan kerana subsidi agak tinggi.
“Bila subsidi terlalu tinggi, tidak banyak rumah yang kita dapat bina dan anak syarikat Felda melaksanakannya itu tidak mempunyai daya tahan meneruskannya.
“Disebabkan masalah itu, banyak tempat kita dapati projek PGBF ini yang dibina Felda tergendala.”
Katanya, Felda yang sentiasa komited menyediakan kemudahan asas untuk peneroka, termasuk soal perumahan, akan mencari jalan penyelesaian dan model terbaik bagi mengatasi masalah itu.
Ia termasuk menyediakan lot tanah dan peneroka akan membina sendiri rumah terbabit, selain mewujudkan perkongsian dengan pihak swasta untuk membina rumah di kawasan Felda.