Fokus isu pendapatan dalam PRN, kata Santiago

Fokus isu pendapatan dalam PRN, kata Santiago

Bekas Ahli Parlimen Klang itu berkata, semua pengundi mahu peluang pekerjaan baik, perlindungan sosial, harga siling pada barang keperluan dan kenaikan gaji.

Charles Santiago berkata, pembaharuan digaris dalam naratif Ekonomi Madani akan mewujudkan peluang pekerjaan lebih bermakna dan memastikan peluang sama untuk semua.
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa parti politik memfokuskan kempen PRN mereka terhadap langkah menangani isu pendapatan dihadapi rakyat.

Katanya, perbincangan PRN enam negeri bulan depan berkisar tentang bagaimana ia akan menjadi kayu pengukur terhadap populariti Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kerelevanan Umno dalam kalangan orang Melayu dan pencapaian PAS sejak PRU15.

Beliau turut menekankan spekulasi berhubung kemungkinan Selangor jatuh ke tangan Perikatan Nasional dan peluang pembangkang terus menembusi Pulau Pinang.

“Tetapi, mari kita berhenti seketika dan tanya diri sama ada ini benar-benar isu utama pada PRN. Ia jelas bukan kerana semua yang pengundi mahu ialah kerajaan negeri dan persekutuan boleh memastikan peluang pekerjaan, perlindungan sosial, harga siling barang keperluan dan kenaikan gaji.

“Kita dapat lihat rakyat masih bergelut untuk mengatasi kesan pandemik Covid-19, seperti kehilangan pekerjaan dan pendapatan. Mereka tidak berminat dengan ramalan parti mana akan menang, peralihan undi atau sentimen pengundi atau keluar mengundi,” katanya dalam kenyataan.

“Mereka mahu gabungan yang membolehkan mereka mencari wang mencukupi, menyediakan akses kepada penjagaan kesihatan, membayar sewa bulanan dan mengeluarkan belanja untuk sekolah.”

Bekas Ahli Parlimen tiga penggal itu memuji naratif Ekonomi Madani yang dilancarkan Anwar Khamis lalu kerana ia “melakukan lebih” dalam mengurangkan beberapa cabaran penting dihadapi rakyat.

Menurutnya, pembaharuan struktur ekonomi digariskan dalam Ekonomi Madani akan mewujudkan peluang pekerjaan lebih bermakna, mewujudkan rangkaian perlindungan sosial dan memastikan peluang sama rata untuk semua.

Katanya, rancangan komprehensif untuk menangani pelbagai cabaran dan isu berkaitan daya saing serta tarikan pelaburan Malaysia akan melengkapkan lonjakan pelaburan asing.

Negara mencatatkan pelaburan langsung asing diluluskan pada suku pertama tahun ini sebanyak RM71.4 bilion, meningkat 60% berbanding tempoh sama 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.