
Pengerusinya, Amirudin Shari, berkata jajaran rel baharu akan dibina di Klang ke Kuala Selangor, Tanjong Karang, dan Sabak Bernam jika gabungan itu kembali berkuasa.
Amirudin berkata, jajaran rel menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Tanjong Sepat dan Sungai Pelek, sekali gus menjadikan wilayah pantai barat Selangor menjadi koridor perkhidmatan rel.
Beliau juga menjanjikan 100,000 peluang kerja berpendapatan tinggi kepada belia Selangor, termasuk peluang latihan industri (internship) dengan bayaran RM1,500 sebulan bagi 2,000 orang muda Selangor.
Amirudin berkata, PH akan meluaskan skop peserta Program Tuisyen Rakyat Selangor percuma kepada pelajar sekolah rendah dan
menengah dengan sasaran 200,000 peserta, selain baucar pembelian buku RM200 kepada orang muda.
“Kami juga menawarkan latihan TVET bagi 10,000 orang muda Selangor dengan kerjasama bersama syarikat teknologi tinggi seperti Apple, Siemens, Festo, dan Dassault Systemes,” katanya ketika melancarkan manifesto itu.
Amirudin berkata, inisiatif tersebut menyasar menjadikan Selangor negeri termaju di Asia. “Jangan kita lepaskan peluang emas ini,” katanya kepada pengundi.
Antara inisiatif lain dalam manifesto PH Selangor
- Bina 200,000 rumah mampu milik dengan tiga bilik dan dua bilik air RM250,000 ke bawah
- Bina 10,000 rumah kepada penjawat awam Selangor
- Penggunaan bas mini dan van ke setiap daerah bagi kurang kebergantungan kepada kereta
- Bina 5,000 pusat pengecasan berkuasa tinggi kenderaan elektrik di kawasan awam
- Persekitaran selamat kepada wanita dan kanak-kanak dengan menambah liputan CCTV di kawasan awam
- Pemeriksaan kesihatan percuma akan diperluas
- Khidmat ambulans percuma di setiap majlis tempatan
- Biasiswa lanjut pengajian ke Timur Tengah kepada pelajar tahfiz, sekolah pondok, dan sekolah agama rakyat
- Elaun imam, bilal, siak dan nazir naik secara berperingkat masing-masing kepada RM1,600, RM700, dan RM500
- Tingkat peruntukan rumah ibadat bagi komuniti Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao
- Mendigitalkan sepenuhnya perkhidmatan kerajaan
- Penubuhan OSC Khas di setiap PBT selesai isu kritikal berkaitan khidmat PBT dalam tempoh 24 jam