
Beliau yang juga pengerusi BN Selangor, berkata pengundi mesti tahu nilai setiap undi yang mana kesilapan dalam pengundian mengundang “kemudaratan lebih besar”.
“Sangat penting untuk kerajaan (persekutuan) dan jangan lihat PRN ini dianggap sebagai pilihan raya cubaan (beranggapan) yang penting kerajaan persekutuan masih kekal. Tidak boleh negeri yang tidak sealiran dengan kerajaan persekutuan.
“Ia akan membantutkan segala perancangan atau pembangunan terutama perkara penting dalam negeri itu. Minta maaf, lihat Kelantan apa yang berlaku lebih 30 tahun bila tidak sealiran akan membantutkan segala perkembangan, pertumbuhan ekonomi dan infrastruktur dalam negeri itu,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Keusahawanan dan Penjanaan Ekonomi di Bangunan Sirim, dekat Shah Alam.
Megat ketika mengulas lanjut berkata, segala limpahan diperoleh Selangor menarik seluruh rakyat dari segenap negara menetap, selain kerajaan perpaduan adalah modul pentadbiran terbaik wujud.
“Pola politik sudah berubah. Jadi, saya mohon kepada rakyat dan pengundi dalam Selangor jangan terbuai, termakan dengan kata-kata tidak keluar mengundi pun tidak apa. Ini tidak betul kerana undi kalian tentukan kedudukan dan kestabilan Selangor itu sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, katanya tawaran lima tahun yang akan dilancarkan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN Selangor esok adalah hasil pengalaman gabungan parti berkenaan ketika mentadbir Selangor.
Katanya, tawaran berkenaan adalah sesuatu memang boleh dilaksanakan dan menarik serta bukan sekadar janji manis saja.