
Lagipun, memang itu yang diusahakannya selaku penyelaras DUN yang dilantik kerajaan negeri lalu.
“Perumpamaannya kalau paip dah rosak, kita kena buat paip baru sementara waktu sampai ganti paip yang dah rosak,” kata anak jati Selangor ini kepada FMT.
“Jadi pada satu masa tu paip disini tak berfungsi, dia letak paip kecemasan iaitu saya sebagai penyelaras, InshaAllah sekarang ni kita akan tukar paip.”
Beliau akan bertanding atas tiket PKR pada PRN Selangor 12 Ogos ini. Beliau dijangka bertembung Sharifah Haslizah Syed Ariffin daripada PAS.
Pada PRU14, Haniza menang di DUN Lembah Jaya dengan kelebihan 14,790 undi, menewaskan pencabar daripada BN PAS, dan Parti Rakyat Malaysia.
Keanggotaannya dalam PKR bagaimanapun terlucut pada 2020, pasca skandal Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan pusat ketika itu tumbang.
Altimet memberitahu FMT bahawa penduduk mengadu Haniza tidak selesaikan isu-isu yang berbangkit di DUN Lembah Jaya, selepas skandal tersebut.
Beliau yang menetap di Ampang selama 13 tahun berkata ingin melihat Lembah Jaya menjadi kawasan yang selesa didiami semua peringkat umur.
Apabila berkempen nanti, beliau mahu mempromosikan 47 inisiatif kerajaan negeri Selangor di bawah program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) kepada penduduk.
“Untuk anak-anak kita, kita nak tempat mereka boleh beriadah, belajar, sekolah selamat… kalau anak nak makan tahu kat mana, peniaga kuetiau berniaga ada lesen, berniaga selesa. mereka bayar lesen kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan MPAJ gunakan wang untuk penyelenggaraan prasarana.
“Untuk pesara.. mereka perlu tempat selesa, macam mak saya bila dia suka pergi kelas mengaji, tazkirah, suka jumpa kawan-kawan, dia suka berjalan kalau dia ada tempat selesa… mereka tak ada rasa lepas bersara nak pindah tempat lain. Jadi nilai komuniti lagi kuat” katanya.
Ditanya keyakinannya untuk memang pilihan raya akan datang, Altimet memberitahu beliau menerima galakan daripada Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail dan Adun Tanjung Sepat Borhan Aman Shah.
“Keyakinan saya datang daripada diri saya yang cuba belajar benda baharu. Saya juga habiskan sepuluh bulan sebagai penyelaras di Lembah Jaya. Saya dapat tugasan daripada menteri besar yang mengatakan tanggungjawab lni sama seperti tugas Adun,” katanya.
Altimet tidak ragu-ragu akan keputusan menawarkan dirinya sebagai wakil rakyat, meskipun semua penggiat seni yang bertanding pada PRU15 lalu tewas.
“Pada saya usaha saya itu 100% dalam kawalan saya. Saya suka bagi 100%. Cuba tanya kawan-kawan saya. Saya orang ketagih kerja sebab itu lagu saya banyak… Jadi tu kelebihannya, sudah tentu ada nama.
“Tapi kekurangannya orang lihat penghibur tak serius, tak cakna. Kalau kita boleh ubah persepsi itu, dengan izin Allah, kita buat yang terbaik Dia akan mengurniakan apa hajat kita,” katanya.