
Menteri besar Kelantan itu berkata, sudah tiba masa untuk beliau memberi laluan kepada calon lain lebih muda selepas ini.
“Saya sudah masuk penggal ketujuh dan kalau langit pun ada tujuh lapis, cukuplah tu. Lepas ni insya-Allah dok doh (cukuplah), kita bagi kepada orang muda.
“Politik ni macam kitaran. Bukan sebagaimana kerja kerajaan yang ada tempoh tapi kerja politik ni (bergantung kepada) upaya yang kita akan korban.
“Kita dalam PAS tak akan ‘cah keting’ walau ada parti cah keting, tapi kena ada pengorbanan. Yang ‘tak rok’ (tak berupaya) tu duduk belakang,” katanya selepas pencalonan DUN Pasir Pekan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Falahiah, Tumpat, menurut Berita Harian.
Ahmad berdepan calon Pakatan Harapan (PH) Mohamad Zamakh Sari Ibrahim daripada PKR.
Beliau berkata, biarpun kali ini adalah penggal terakhirnya namun perjuangan bersama parti tetap diteruskan selain akan berkempen bersungguh-sungguh seperti pilihan raya lalu.
Katanya, beliau sudah mula melatih barisan pelapis terdiri kalangan orang muda untuk menggantikan pemimpin sedia ada suatu hari nanti.
“Perjuangan saya untuk PRN yang terakhir ini mesti kena kuat, tua buat cara tua.
“Dalam PAS sentiasa ada pelapis yang dilatih untuk menjadi pemimpin berakhlak baik dan berpenampilan bagus,” katanya.