Kementerian bangunkan Anjung Sinar untuk belia ‘tiada keluarga’

Kementerian bangunkan Anjung Sinar untuk belia ‘tiada keluarga’

Matlamat projek itu ialah memperkasa dan memastikan kesejahteraan belia dengan menyediakan peluang pendidikan, pekerjaan dan kemahiran.

Nancy Shukri berkata tugas Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ialah menerajui pelbagai inisiatif bertujuan memperkasa dan meningkatkan taraf hidup mereka yang kurang berkemampuan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membangunkan projek perintis “Anjung Sinar”, sebuah pusat transit untuk belia berumur 18 tahun dan ke atas yang dibenarkan keluar dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan tidak mempunyai ahli keluarga atau berasal daripada keluarga susah.

Menterinya Nancy Shukri berkata matlamat projek itu ialah memperkasa dan memastikan kesejahteraan mereka dengan menyediakan peluang pendidikan, pekerjaan dan kemahiran.

“Kami mengalu-alukan pihak untuk berkolaborasi dan berharap projek baharu ini akan berjaya untuk generasi seterusnya…untuk kementerian, tugas kami ialah menerajui pelbagai inisiatif bertujuan memperkasa dan meningkatkan taraf hidup mereka yang kurang berkemampuan.

“Bagaimanapun kami tidak boleh melakukannya sendiri dan kami sentiasa menyambut baik idea baharu, sokongan dan penyertaan sektor swasta dalam arena Kemampanan Korporat dan Tanggungjawab Sosial (CSR),” katanya ketika merasmikan Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2023, malam tadi.

Nancy berkata sejak 1980-an, kementerian itu mewujudkan kerjasama CSR yang berjaya seperti program Anjung Kasih oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) iaitu pusat penginapan sementara untuk ahli keluarga yang kurang berkemampuan menemani pesakit di hospital kerajaan.

“Terbaharu, kami menganjurkan Anjung Kasih Pulau Pinang dan ia tidak akan dapat direalisasikan tanpa Kumpulan Sunway. Seramai 85,596 keluarga pesakit telah memanfaatkan Anjung Kasih yang disediakan di 18 hospital kerajaan di seluruh negara secara percuma,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.