‘Seseorang’ jadikan P Pinang harta bapa mereka, kata pemimpin DAP digugur

‘Seseorang’ jadikan P Pinang harta bapa mereka, kata pemimpin DAP digugur

Bekas Adun Bagan Dalam, M Satees mendakwa 'maharaja' ini mempunyai hak penuh menentukan calon DAP bagi PRN Pulau Pinang.

M Satees mendakwa beliau dan lima penyandang digugurkan sebagai calon PRN kerana lantang menyokong Ketua Menteri, Chow Kon Yeow. (Gambar Facebook)
BUTTERWORTH:
Seorang bekas Adun DAP yang digugurkan sebagai calon PRN bulan depan mendakwa “seseorang” menjadikan Pulau Pinang seperti harta persendirian mereka.

Bekas Adun Bagan Dalam, M Satees menyamakan “seseorang” itu dengan maharaja dan mendakwa individu terbabit diberikan hak penuh menentukan senarai calon DAP bagi pilihan raya.

“Mereka kata (alasan beberapa bekas Adun digugurkan demi) pembaharuan, darah baharu dan lain-lain. Alasan sebenar ialah seorang individu mahu menguasai Pulau Pinang.

“Malah, DAP negeri tiada kata putus langsung. Semua rakyat Pulau Pinang tahu ia keputusan seorang individu. Seseorang menjadikan Pulau Pinang seperti harta bapanya,” katanya dalam sidang media di sini.

Semalam, DAP mengumumkan 19 calon bagi PRN Pulau Pinang, dengan tujuh bekas Adun digugurkan, termasuk lima exco negeri.

Satees mendakwa kecuali seorang bekas Adun digugurkan atas sebab kesihatan, beliau dan lima lagi tidak dicalonkan kerana mereka tidak berada dalam kem “maharaja”.

Beliau turut mendakwa mereka digugurkan kerana lantang menyokong Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

“Itu harga yang kami perlu bayar untuk menyokong seorang lelaki baik.”

DAP turut menggugurkan Timbalan Ketua Menteri, P Ramasamy dan Exco Phee Boon Poh, Chong Eng, Yeoh Soon Hin serta Soon Lip Chee bagi PRN bulan depan.

Bekas Adun Pulau Tikus, Chris Lee menarik diri atas sebab kesihatan.

Satees mempertahankan prestasinya sebagai Adun dengan berkata, beliau aktif turun padang dan menyertai banyak perbahasan penting di DUN.

Sebagai pembantu Ramasamy, katanya, beliau tidak tahu dakwaan Ramasamy menemui Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Satees berkata, ancaman lebih besar kepada Pulau Pinang bukanlah sokongan “gelombang hijau” kepada PN, tetapi “maharaja” itu sendiri.

Katanya, beliau tidak bercadang menemui Muhyiddin, tetapi sedia “bekerja dengan sesiapa saja yang mengutamakan kepentingan Pulau Pinang”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.