
Nazari Ismail dari Universiti Malaya berkata, menghapuskan keperluan itu akan membolehkan saingan sihat antara pembuat kereta tempatan dan asing.
“Ini akan mendorong pembuat kereta domestik meningkatkan kualiti dan mengurangkan harga. Ini semua bagus untuk pengguna,” katanya kepada FMT.
Tetapi, beliau mengakui penghapusan skim itu akan menyebabkan kerajaan kehilangan hasil besar dalam bentuk bayaran dikenakan kepada pemegang AP.
Pada 17 Julai lalu, Bernama memetik Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz sebagai berkata, kerajaan tidak berhasrat menamatkan kelulusan sistem AP kereta secara berperingkat.
Keperluan itu bagaimanapun tidak akan dikenakan kepada Tesla, yang melancarkan operasinya di Malaysia dan memperkenalkan tawaran pertamanya kepada pasaran kereta tempatan pada 20 Julai lalu.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pembuat kenderaan elektrik (EV) dunia itu diberikan pengecualian dalam usaha meningkatkan permintaan bagi EV bateri dan membangunkan sistem sokongan untuk penggunaannya.
Carmelo Ferlito dari Pusat Pendidikan Pasaran mendapati langkah kerajaan memberi pengecualian kepada Tesla bertujuan memberi kelebihan daya saing kepada EV.
“Ini tidak salah pada dasarnya, tetapi saya lebih suka (mekanisme berbeza digunakan seperti melaksanakan) cukai jualan berlainan, contohnya.”
Katanya, pengecualian itu memberi gambaran layanan keutamaan diberikan kepada pembuat kenderaan berbanding produk.
“Ini mungkin menimbulkan isu dalam hubungan kerajaan dengan pembekal lain yang sudah lama beroperasi di Malaysia.
“Menghapuskan AP bukan saja membolehkan pengguna mempunyai akses kepada lebih banyak produk pada harga lebih berpatutan, tetapi ia akan mewujudkan dorongan berdaya saing kepada pengeluar tempatan, memaksa mereka menambah baik harga dan teknologi.”