PRN: Bekas Adun Pejuang minta PN beri peluang pertahan DUN Jeram

PRN: Bekas Adun Pejuang minta PN beri peluang pertahan DUN Jeram

Shaid Rosli berkata berdasarkan undian PRU15, BN-PH dijangka menang selesa dengan majoriti lebih 9,000 undi.

Shaid Rosli mendakwa majoriti penduduk Jeram menyokongnya mempertahankan kerusi itu.
PETALING JAYA:
Bekas Adun Pejuang Shaid Rosli meminta Perikatan Nasional (PN) memberi peluang mempertahankan DUN Jeram di bawah tiket gabungan itu pada PRN bulan depan.

Shaid yang keluar Pejuang bersama Dr Mahathir Mohamad pada Februari lalu berkata selaku penyandang beliau yakin mampu memberi tentangan sengit kepada calon Barisan Nasional (BN) Jahaya Ibrahim yang dipertaruhkan gabungan kerajaan perpaduan.

“Majoriti penduduk Jeram menyatakan sokongan untuk saya bertanding atas tiket PN, jadi terpulang pada pucuk pimpinan PN.

“Dengan senario 50-50 antara PH-BN dan PN, maka kemenangan satu kerusi ini amat berharga untuk PN,” katanya yang mengakui bergerak aktif di bawah NGO Proklamasi Orang Melayu digagaskan Mahathir yang turut disokong Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

“Kalau mereka fikirkan kemenangan mereka boleh bagi peluang dekat saya.”

Pada PRU14, Shaid menang di DUN Jeram menerusi tiket Bersatu dengan majoriti 1,191 undi, namun keluar parti pada 8 Ogos 2020 dan menyertai Pejuang ditubuhkan Mahathir.

Shaid berkata, PN dijangka mempertaruhkan “calon luar” iaitu Harrison Hassan bagi kerusi Jeram, dan tindakan itu tidak disenangi pengundi tempatan.

“Calon yang PN nak bawa ialah calon luar, jadi orang kawasan sini lebih kenal saya kerana saya tinggal di sini jadi mereka lebih selesa kalau diberi peluang kepada calon tempatan.”

Shaid menambah, berdasarkan undian pada PRU15, BN-PH dijangka berada dalam kedudukan selesa dengan majoriti lebih 9,000 undi berbanding PN.

“Satu jumlah besar mereka sedang mendahului. PN nak menang bukanlah senang di kawasan ini, jadi kalau incumbent (penyandang) diberi peluang maka boleh beri saingan sengit kepada calon BN,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.