‘Dulu lain sekarang lain’, Syed Saddiq bidas kerajaan banyak ‘U-turn’

‘Dulu lain sekarang lain’, Syed Saddiq bidas kerajaan banyak ‘U-turn’

Presiden Muda berkata banyak isu antaranya kos sara hidup, peruntukan negeri dan sekuriti makanan belum mempunyai penyelesaian jelas.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata politik berdasarkan isu prinsip bukan sekadar perebutan kuasa.
PETALING JAYA:
Rakyat tidak boleh disalahkan jika beranggapan politik negara sudah lapuk kerana apa dijanjikan kerajaan kepada mereka tidak mampu dilaksana, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Presiden Muda berkata, masih banyak isu antaranya kos sara hidup, peruntukan negeri dan sekuriti makanan dilihat belum mempunyai penyelesaian jelas.

“Kalau kita dengar mengapa mereka (rakyat) menyampah, mengapa mereka rasa politik ini adalah politik lapuk dan lama, ini adalah apabila apa dijanjikan sebelum pilihan raya dengan apa yang dilaksanakan sangat berbeza, dulu kata lain kini buat lain.

“Dulu kita kata akan selesai isu sekuriti makanan, tetapi daripada kita import RM55 bilion kini kita import RM70 bilion dari luar. Bukan hanya tiada penyelesaian, lagi teruk adalah, dulu kata nak lawan rasuah kini buat benda sama,” katanya dalam wawancara bersama FMT.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, pentadbiran sedia ada perlu bersikap lebih adil tanpa mengikut “warna politik”.

“Contohnya berkait peruntukan negeri, sewajarnya ia diberikan terus kepada kerajaan negeri dipilih rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengelak mengulangi kesalahan pentadbiran terdahulu.

“Apabila kita berada di kerusi pembangkang kita maki…marah kerajaan masa itu, kita maki kata ini tidak adil jangan seksa rakyat ikut warna politik kamu, kini kita dalam kerajaan kita lakukan perkara sama jauh lebih teruk,” katanya.

Katanya, justeru penting untuk mewujudkan politik solusi dengan penglibatan semua pihak, tidak kira daripada blok kerajaan atau pembangkang dalam segala perbincangan mengenai dasar.

“Politik berdasarkan isu prinsip bukan sekadar perebutan kuasa dan saya rasa inilah budaya politik baru yang perlu kita bawa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.