Seluruh sistem berubah jika negeri, persekutuan gabungan sama, kata Umno Kedah

Seluruh sistem berubah jika negeri, persekutuan gabungan sama, kata Umno Kedah

Ketua Umno Kedah Mahdzir Khalid berkata kerajaan negeri akan memainkan peranan menyelesaikan isu rakyat dengan tidak mengharapkan persekutuan semata-mata.

Mahdzir Khalid berkata tumpuan lebih penting bagi memastikan gabungan parti itu menawan semula Kedah daripada Perikatan Nasional.
KUALA LUMPUR:
Seluruh sistem pentadbiran Kedah akan berubah jika kerajaan negeri dan persekutuan daripada gabungan parti sama, kata Mahdzir Khalid.

Ketua Umno Kedah berkata, kerajaan negeri akan memainkan peranan dalam menyelesaikan isu berkaitan rakyat, dengan tidak boleh mengharapkan kepada kerajaan persekutuan semata-mata.

“Kita kena jadi kerajaan bukan setakat Adun….sebab itu ‘tagline’ kita kalih bagi sama kerana keseluruhan sistem akan berubah kalau kita jadi kerajaan.

“Contohnya isu tuntutan anak muda, hendak beli rumah, nak bayar kereta, nak makan…itu juga kena cari penyelesaian di peringkat negeri dan tidak boleh harap kerajaan persekutuan sahaja,” katanya kepada selepas majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam tadi.

Dalam pengumuman itu, nama Mahdzir mencuri tumpuan apabila diumumkan akan kembali ke DUN Pedu pada PRN bulan depan.

Mahdzir pernah menjadi Adun Pedu pada 2004 sebelum dilantik menjadi menteri besar Kedah.

Ditanya sama ada beliau akan diangkat sebagai calon menteri besar, Mahdzir berkata tumpuan lebih penting bagi memastikan gabungan parti itu menawan semula Kedah daripada Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu.

“Itu serah kepada pucuk pimpinan, bagi kita menang dulu,” katanya.

Terdahulu Setiausaha Agung BN, Asyraf Wajdi Dusuki, mengumumkan 15 DUN bakal ditandingi gabungan itu di Kedah.

Namun calon bagi kerusi DUN Tanjung Dawai belum diumumkan sehingga kini.

Mahdzir memaklumkan rundingan masih dijalankan terhadap pemimpin bakal diketengahkan sebagai calon di DUN itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.