Akar umbi DAP di Sg Pelek protes calon ‘orang luar’

Akar umbi DAP di Sg Pelek protes calon ‘orang luar’

Ahli daripada 17 cawangan di DAP Sepang mahu pemimpin tempatan yang boleh memberi perkhidmatan terbaik bagi memenuhi keperluan pengundi.

Ahli DAP menyertai protes di Kampung Baru Sepang Khamis lepas. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Beberapa cawangan DAP di Sepang berhimpun untuk membantah prospek “orang luar” dicalonkan untuk kerusi Sungai Pelek pada PRN Selangor, kata sumber parti.

Akar umbi daripada 17 cawangan DAP dikatakan kecewa dengan khabar angin parti itu akan meletakkan bekas Adun Banting Lau Weng San di Sungai Pelek.

Sumber berkata, protes itu diadakan di sebuah gelanggang bola keranjang di Kampung Baru Sepang bagi menyuarakan permintaan akar umbi yang mahu calon tempatan menggantikan Ronnie Liu sebagai Adun Sungai Pelek.

“Pada Khamis, kami (DAP Sepang) mengadakan mesyuarat dengan sayap Pemuda dan Wanita, serta kami setuju hanya menyokong calon tempatan di Sungai Pelek.

“Kami mahu pemimpin tempatan yang boleh memberikan perkhidmatan terbaik berdasarkan keperluan dan kehendak pengundi,” kata sumber yang enggan dinamakan.

Menurutnya, akar umbi dan pengundi di Sungai Pelek kecewa dengan Liu kerana merasakan mereka diabaikan ketika beliau menjadi wakil rakyat mereka.

Liu, yang meninggalkan DAP dua hari sebelum DUN dibubarkan bulan lepas, ialah Adun Sungai Pelek selama satu penggal.

Pada PRU 2018, Liu memenangi kerusi itu atas tiket Pakatan Harapan dengan majoriti 6,586 undi.

PRN akan diadakan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan pada 12 Ogos ini.

Sumber itu berkata, selain Lau, calon berpotensi lain termasuk bekas setiausaha politik Liu, Azfar Faruqi yang juga warga tempatan Sepang.

Azfar ketika dihubungi FMT berkata, terpulang kepada pucuk pimpinan parti memilih calon sesuai untuk membantu mempertahankan kerusi Sungai Pelek.

“Apa pun keputusannya, saya sedia membantu DAP mempertahankan kerusi itu atas apa jua kapasiti.”

DAP akan mengumumkan calon PRN pada Isnin.

Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) dilapor akan mencalonkan Ketua Bersatu Sepang Suhaimi Ghazali di Sungai Pelek.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.