
Dr Pamela Yong berkata Upko ‘bergerak ke mana sahaja angin bertiup paling kuat’, sambil mempersoalkan sama ada tindakan terbaharu parti itu hanyalah satu ‘drama politik’.
“Apa yang kita saksikan ini hanyalah kesinambungan kepada corak sedia ada. Jadi kenyataan presiden Upko itu tidak mengejutkan dan bukan sesuatu yang baharu,” kata ketua Wanita MCA Sabah itu kepada FMT.
Semalam, Ewon berkata Sabah boleh kehilangan pengaruhnya sekiranya pengundi memilih pemimpin tempatan daripada parti nasional kerana mereka menerima arahan daripada presiden parti ‘di seberang laut’.
Ahli Parlimen Penampang itu, yang baru-baru ini letak jawatan sebagai menteri persekutuan dan membawa Upko keluar daripada Pakatan Harapan, berkata kepada Malaysiakini bahawa kerajaan negeri yang sehaluan dengan parti beribu pejabat di Semenanjung mungkin berdepan arahan bertentangan, termasuk ketika merundingkan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan.
Yong berkata semasa Upko berada dalam PH, parti itu menggugurkan tuntutan 40% hasil berkenaan, merujuk kepada tindakan Sabah PH menarik balik saman terhadap kerajaan persekutuan berhubung hak tersebut.
Ewon merupakan salah seorang plaintif dalam saman pemula itu.
Namun, beberapa minggu sebelum PRN, mereka secara tiba-tiba keluar daripada PH dan kini mendakwa bahawa menyokong parti persekutuan akan menjejaskan hak Sabah, kata Yong.
“Jika itu benar-benar pegangan mereka hari ini, maka rakyat Sabah berhak bertanya: di mana pegangan itu ketika mereka berada dalam PH? Atau adakah ini hanya satu lakonan?
“Ini hanyalah pelarasan politik, bukan kebangkitan prinsip ‘baharu’,” katanya.
Yong berkata Sabah berhak mendapat pemimpin yang mengekalkan prinsip mereka tanpa mengira masa atau keperluan politik, dan bukan mereka yang menemui semula hak Sabah hanya apabila musim kempen bermula.
Ewon meletakkan jawatan pada Sabtu lalu, dengan alasan prinsip parti untuk mempertahankan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak perlembagaan Sabah.
Katanya, keputusan itu juga susulan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bulan lalu yang menegaskan hak perlembagaan Sabah terhadap 40% hasil persekutuan yang dikutip dari negeri itu.
Sehari kemudian, Upko memutuskan untuk keluar daripada PH, lebih empat tahun selepas menyertai gabungan itu.
Setiausaha Agung Upko, Nelson Angang berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pengalaman dalam PH dan sentimen rakyat Sabah supaya parti tempatan bekerjasama.
AGC mengumumkan bahawa kerajaan persekutuan tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah yang mengesahkan hak 40% Sabah terhadap hasil persekutuan daripada negeri itu seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, AGC berkata kerajaan berhasrat merayu beberapa ‘kecacatan’ dalam alasan penghakiman tersebut.