
PETALING JAYA: Objek yang ditemui pada kenderaan milik peguam terkenal, Siti Kasim, dipercayai bom jenis “improvised explosive device”, kata polis.
Ketua Polis Brickfields Amihizam Abdul Shukor berkata objek berkenaan, iaitu dua botol plastik, yang diletakkan pada bahagian tayar belakang kenderaan berjaya dikeluarkan. Ia dihantar ke unit forensik untuk pengesahan lebih tepat.
“Menurut mangsa, dia ada menerima ancaman sebelum ini,” katanya menurut laporan Kosmo.
Amihizam berkata Siti yang berada di kawasan kejadian di ibu negara untuk menyelenggara kenderaannya menghubungi polis pada tengah hari tadi susulan penemuan objek itu.
Polis serta-merta menutup kawasan sekitar kenderaan terbabit serta mengerahkan unit pemusnah bom dan memanggil bomba.