2 pegawai kastam ditahan berkait seludup sisik tenggiling

2 pegawai kastam ditahan berkait seludup sisik tenggiling

Lelaki berusia 46 dan 56 tahun itu ditahan SPRM dalam Ops Jaguar Isnin lalu.

Dua suspek yang ditahan disyaki menerima sogokan daripada sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa.
PETALING JAYA:
Dua pegawai kastam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menerima sogokan daripada sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa.

Harian Metro yang memetik sumber melaporkan, mereka berusia 46 dan 56 tahun itu ditahan dalam Ops Jaguar Isnin lalu.

“Mereka disyaki menerima sogokan daripada sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa itu.

“Setakat ini, tiada rampasan dibuat dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh SPRM,” katanya.

Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengesahkan penahanan suspek terbabit.

Media sebelum ini melaporkan, pemilik syarikat serta ejen pelupusan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa yang dicari SPRM berjaya ditahan.

Suspek berusia 43 tahun yang melarikan diri, ditahan selepas hadir menyerah diri di pejabat SPRM Selangor Selasa lalu.

Dalam operasi sebelum itu, tujuh individu berusia antara 30 hingga 59 tahun membabitkan warga Malaysia, Bangladesh, Pakistan dan Nepal ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Daripada keseluruhan ditahan itu, empat daripadanya direman sementara tiga lagi warga asing diserahkan ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.