Sanusi nafi gagal dihubungi polis

Sanusi nafi gagal dihubungi polis

Sanusi Md Nor mendakwa ada berhubung dengan polis ketika bermesyuarat, yang selesai pada kira-kira 11.40 malam.

Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor berkata dia menerima panggilan daripada polis ketika bermesyuarat, pada malam sebelum tangkapannya.
PETALING JAYA:
Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor menafikan dakwaan beliau gagal dihubungi polis sebelum tangkapannya pada pagi semalam.

Sanusi mendakwa ada berhubung dengan polis ketika beliau bermesyuarat, yang selesai pada kira-kira 11.40 malam.

“Polis telefon. Memang ada telefon. Telefon pegawai saya apa semua. Saya sedang mesyuarat. Tiga mesyuarat hari itu. Tengah meeting itu panggilan masuk, saya tanya ‘Siapa?’. Dia beritahu dia ‘Bukit Aman’,” katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, Sanusi berkata pegawai berkenaan meminta beliau ke balai polis untuk diambil keterangan.

“Dia kata nak ambil keterangan. Nak sambung lagi keterangan. Saya kata ‘keterangan apa lagi?’. Dia kata ‘nak sambung lagi’. Saya terus tanya ‘nak buat tangkapan ke?’. Dia kata ‘nak ambil keterangan’. Dia pertahan itu,” katanya.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain pada sidang media semalam berkata Sanusi ditahan pada 3 pagi hari sama selepas polis gagal menghubungi beliau untuk memaklumkan dia perlu hadir ke mahkamah hari itu.

Sanusi mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menghasut terhadap raja, berkait ucapannya dalam satu ceramah di Taman Selayang Mutiara, Gombak pada 11 Julai.

Pada sidang media sama, Razarudin memaklumkan polis hendak merakam percakapan Sanusi berhubung isu lain, susulan laporan yang dibuat pada 14 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.