Fitnah curi REE, Saifuddin diarah bayar Sanusi RM670,000

Fitnah curi REE, Saifuddin diarah bayar Sanusi RM670,000

Mahkamah Tinggi Alor Setar turut perintah menteri dalam negeri siar permohonan maaf dalam akhbar utama Melayu dan Inggeris dalam tempoh 14 hari.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail (kiri) diperintah membayar ganti rugi berjumlah RM600,000 dan kos RM70,000 kepada Sanusi Nor dalam tuntutan saman berhubung REE.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Alor Setar membenarkan tuntutan saman fitnah Menteri Besar Kedah Sanusi Nor terhadap Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkaitan ceramahnya dalam satu program pada 2023.

Dalam Jelajah Madani sempena kempen PRN 6 negeri, Saifuddin mendakwa Sanusi mencuri unsur nadir bumi (REE) dan menyeleweng wang peruntukan Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) berjumlah RM1.6 bilion.

Hakim John Lee Kien How @ Mohamad Johan Lee memerintahkan Saifuddin membayar ganti rugi am berjumlah RM600,000 dan kos RM70,000 kepada Sanusi.

Mahkamah turut memerintahkan Saifuddin menyiarkan permohonan maaf dalam akhbar utama Melayu dan Inggeris dalam tempoh 14 hari, dengan terma diluluskan Sanusi.

Injunksi kekal dan aku janji untuk tidak mengulangi kata-kata fitnah itu juga telah dikenakan.

Pada 7 Ogos 2023, Sanusi memfailkan saman fitnah terhadap Saifuddin kerana didakwa mengaitkannya dengan kecurian REE dan penyalahgunaan dana persekutuan yang diperuntukkan untuk projek penyelenggaraan jalan.

Beliau berkata, kenyataan dibuat Saifuddin pada 14 dan 15 Julai 2023 mencemarkan nama baiknya sebagai pemimpin politik.

Dalam ceramah pada 15 Julai, Saifuddin berkata Sanusi perlu mengesahkan sama ada, sebagai pengerusi Menteri Besar Diperbadankan (MBI), beliau telah dikenakan notis kompaun RM500,000 atas dakwaan kecurian nadir bumi di Sik.

Pada sidang media 14 Julai, Saifuddin mendakwa Sanusi menyalahgunakan peruntukan Marris berjumlah RM1.6 bilion yang sepatutnya digunakan untuk tujuan penyelenggaraan jalan raya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.